Friday, February 4, 2011

SEJARAH PENUBUHAN MASJID NURUS SAID

SEJARAH PENUBUHAN MASJID NURUS SAID


Masjid Nurus Said atau nama asalnya Masjid Kampung Santan terletak kira-kira 6 km daripada Bandar  Kangar. Masjid ini diberi nama Nurus Said bagi mengenang jasa pemilik tanah tersebut  iaitu  Haji Said yang telah mewakafkan tanahnya untuk didirikan masjid.  Pembinaan masjid ini telah memberi manfaat yang banyak kepada penduduk Kampung Santan terutamanya dalam mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

Menurut Ustaz Abdul Rashid bin Abdul Rahman, bekas Pengerusi Masjid Nurus Said, masjid ini dibina sebelum tahun 1927. Kata beliau lagi, masjid yang asal diperbuat daripada kayu, beratap rumbia dan berdindingkan zink, manakala lantai masjid pula hanyalah tanah. Beberapa tahun kemudian, masjid ini telah mengalami sedikit pengubahsuaian. Atap masjid telah digantikan dengan zink manakala lantainya pula disimenkan.

Pada peringkat awal penubuhan masjid, penduduk kampung hanya menggunakan ia untuk mendirikan solat Jumaat  dan solat terawih sahaja. Solat-solat fardhu pula kebiasaannya didirikan di rumah masing-masing. Walaupun begitu, fungsi masjid semakin berkembang apabila masjid baru dibina bagi menggantikan masjid yang lama. Bangunan masjid yang lama tidak dirobohkan dan ia pernah digunakan untuk kelas fardhu ain. Masjid baru dibina sekitar tahun 1970, berukuran kira-kira 40 x 40 kaki. Sekitar tahun 1987 pula, masjid ini diubah suai lagi dan anjung masjid dibina.

Sehingga sekarang, Masjid Nurus Said sentiasa mengalami penambahbaikan untuk keselesaan para jemaah. Beberapa tahun yang lepas, penghawa dingin telah dipasang di dalam masjid dan tandas-tandas telah dinaik taraf. Disebabkan itu, pengunjung-pengunjung masjid juga semakin bertambah. Masjid Nurus Said kini dilihat lebih meriah dan banyak aktiviti-aktiviti keagamaan dijalankan di sana.













No comments:

Post a Comment